ANTARA WAJAH2 PROCC PAHANG

= AKTIVITI PROTON CLUB MALAYSIA ( PROCC PAHANG )=

SISTEM SMS INFO PROCC: Anda tidak ketinggalan!

Setelah meneliti jalan yang paling baik untuk mengumpul seberapa ramai ahli ProCC untuk apa jua aktiviti rasmi ProCC. Pihak pengurusan telah bekerjasama dengan salah sebuah syarikat TELCO untuk memudahkan info terkini tentang aktiviti rasmi disampaikan dengan mudah dan cepat.

Jika anda sibuk dengan kerja harian dan tidak berkesempatan melayari laman web ProCC setiap masa? Kini anda boleh mendapat info terkini tentang aktiviti terkini ProCC terus ke telefon bimbit anda.


Setiap SMS info dari ProCC akan dikenakan bayaran RM0.50 untuk perkhidmatan TELCO.
Maksimum 4 SMS sebulan.

Pengumuman Penting Tentang Pendaftaran Keahlian Baru ProCC

Laman web ProCC www.protonclub.com telah dibuka kepada umum. Jadi kini pelayar atau tetamu bolehlah mendaftar dan menggunakan forum ProCC. Anda juga bolehlah muat turun borang rasmi, dan telah berkuat-kuasa undang-undang baru, ahli yang ingin menyertai ProCC wajib berjumpa wakil negeri kami disetiap negeri untuk memohon tanda tangan pencadang dan menyerahkan borang kepada wakil dan AJK kami.

Tuesday, October 19, 2010

PROCC ::: Kereta disolek RM25,000 muncul juara :::

Kereta disolek RM25,000 muncul juara

HUJAN lebat di Taman Awam Kubang Gajah, Temerloh, Pahang tidak mematahkan semangat 23 pemilik kenderaan mempamerkan jentera masing-masing dalam Pertandingan Kereta Cantik sempena Karnival Gegaria Harian Metro (HM), baru-baru ini.

Semangat peserta sangat membanggakan, malah mereka mula berkumpul di tapak karnival sejak jam 8 pagi lagi.

Kehadiran peserta dari Kelab ProCC Motorsport Pahang, Bettles Kuantan, Myvi Extreme, Vivac dan Temerloh Eksplorasi (TEC) menceriakan lagi karnival dua hari itu.

Pada pertandingan di hadapan pentas utama itu, segelintir peserta bertungkus-lumus mengelap kereta masing-masing sebelum juri membuat penilaian.

Kehadiran jentera terbabit memberi peluang kira-kira 10,000 pengunjung di daerah yang terkenal dengan ikan patin itu melihat dari dekat kenderaan diubah suai.

Kebanyakan mereka sanggup melakukan pelaburan besar bagi memastikan jentera mereka menarik.

Pemilik Perodua Kelisa, Mohd Hafizullah Abd Halim, 30, dinobatkan juara dengan menewaskan 22 peserta lain.

Kenderaan berwarna hijau muda itu menambatkan hati juri dengan mengumpul 254 mata.

Menurutnya, kenderaan itu dibeli tiga tahun lalu dan dia membelanjakan kira-kira RM25,000 untuk mengubah suai bahagian luaran dan sistem audio.

“Saya membuang tempat duduk belakang dengan menempatkan kotak bagi meletak empat pembesar suara untuk bunyi yang lebih mantap.

“Kereta ini dihasilkan bersama adik selepas beberapa tahun berkecimpung dalam bidang sistem audio sehingga kami membuka kedai aksesori kereta di Kuantan,” katanya.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi Abdul Halim Cha, 36, serta Mazrul Hisham Mazlan, 27.

Abdul Halim bergaya dengan Proton Waja yang dibelinya tiga tahun lalu, mengumpul 242 mata, manakala Mazrul Hisham mempersembahkan Perodua Kancil mencatat 226 mata.

Abdul Halim yang berkhidmat sebagai tentera di Kem Batu 10, Kuantan, berkata minat mengubah suai itu timbul selepas melihat gelagat rakannya.

“Saya berbelanja mengikut kemampuan dan tidak terikut dengan nafsu. Kereta ini saya ubah suai secara berperingkat.

“Saya mengubah suai kereta dengan menambahkan beberapa aksesori supaya kelihatan sporty, manakala sistem audio seperti pembesar suara turut ditambah,” katanya.

Pengurus ProCC Motorsport Pahang, Mohd Faizal Muda berkata, pertandingan berkenaan bagi mengeratkan silaturahim antara ahli pelbagai kelab di Pahang.

Beliau berharap pertandingan berkenaan diadakan sebagai acara tahunan bagi mencungkil bakat di kalangan peminat kereta di Temerloh.

“ProCC Motorsport Pahang mempunyai lebih 300 ahli dan berharap menambah lebih banyak ahli baru tahun depan,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengarang Kumpulan HM, Abdul Ghafar Ismail, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM, Ahmad@Salim Bachok dan Pengarang Rencana HM, Roslan Ibrahim.